farhana mohamad: apa itu BERSIH..?

Pages

09 July 2011

apa itu BERSIH..?

Pengenalan



“Sesungguhnya, apabila pilihan raya bersih dan adil, barulah rakyat dapat tentukan takdir diri sendiri dan boleh mengharapkan pemimpin yang bertanggungjawab”“


Only when elections are clean and fair, can citizens be real masters of their own destiny and expect holders of public office to act accountably and effectively.”


BERSIH bermula sebagai Jawatakuasa Bertindak Bersama bagi Reformasi Sistem Pilihan Raya yang ditubuh pada bulan Julai 2005. Objektif gabungan tersebut adalah untuk memperjuangkan pemulihan yang menyeluruh untuk sistem pilihan raya di Malaysia.



Pembentukan Kenyataan Bersama

Hasil daripada “Bengkel Reformasi Pilihan Raya” yang diadakan di Kuala Lumpur pada September 2006, satu Kenyataan Bersama telah dibentukkan untuk menentukan objektif jangka panjang serta matlamat segera gabungan ini.



Jawatankuasa Pemandu BERSIH


Jawatankuasa ini terdiri daripada ahli-ahli parti politik serta wakil daripada NGO berikut: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Women’s Development Collective (WDC) dan Writers Alliance for Media Independence (WAMI).



Permulaan BERSIH


BERSIH dirasmikan pada 23 November 2006 di bangunan Parlimen Malaysia. Perasmian tersebut dihadiri pemimpin parti politik dan wakil NGO, termasuklah Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PKR Sivarasa Rasiah, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Seputeh (DAP) Teresa Kok, Naib Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, Ketua Pemuda PAS Salahudin Ayub, Setiausaha Agung PSM S. Arutchelvan, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud, Pengarah Eksekutif WDC Maria Chin Abdullah, dan Pengarah Eksekutif SUARAM Yap Swee Seng.


8 Perkara Tuntutan


Tuntutan BERSIH terdiri daripada 8 perkara, iaitu:

1. BERSIHKAN SENARAI UNDI

2. MENREFORMASI UNDI POS

3. GUNA DAKWAT KEKAL

4. MASA KEMPEN MINIMA 21 HARI

5. AKSES MEDIA YANG BEBAS DAN ADIL

6. KUKUHKAN INSTITUSI AWAM

7. HENTIKAN RASUAH

8. HENTIKAN POLITIK KOTOR



Pelancaran BERSIH 2.0

Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengeluarkan Kenyataan Bersama yang pertama pada 23 November 2006.

Apabila mula ditubuhkan, BERSIH terdiri daripada organisasi masyarakat sivil dan parti politik yang berkongsi matlamat berkempen untuk pilihan raya bersih dan adil di Malaysia.


Perjalanan BERSIH sehingga kini penuh kenangan. Demonstrasi orang awam pada November 2007 yang melihat ribuan anak Malaysia turun ke jalan raya untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil merupakan titik bersejarah dalam pergerakan reformasi pilihan raya.

Hampir 3 tahun setengah kemudian, tuntutan BERSIH terus kekal relevan.


Kini sudah sampai masa untuk BERSIH teruskan perjuangan rakyat untuk sistem pilihan raya yang bersih, adil dan bebas daripada manipulasi parti politik. Maka BERSIH dilancarkan semula sebagai BERSIH 2.0, satu gabungan terdiri daripada organisasi-organisasi masyarakat sivil yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik. Tujuan kami adalah untuk memantau semua pihak tidak kira parti.



Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0:

Dato’ Ambiga Sreenevasan, Chairperson

Andrew Khoo

Arumugam K.

Farouk Musa

Maria Chin Abdullah

Haris Ibrahim

Liau Koh Fah

Richard Y W Yeoh

Toh Kin Woon

Wong Chin Huat

Yeoh Yang Poh

Zaid Kamaruddin



Berikut Adalah Penjelasan Mengenai 8 Perkara Tuntutan BERSIH 2.0


Tuntutan Segera Perhimpunan BERSIH 2.0


1. Bersihkan senarai undi

• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.

• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.


2. Mereformasikan undi pos

• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.

• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.

• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.


3. Gunakan dakwat kekal

• Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.


4. Masa kempen minima 21 hari

• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.

• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.


5. Akses media yang bebas dan adil

• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.

• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.

• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.


6. Kukuhkan institusi awam

Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.


Contohnya :

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.

Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.

Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.


7. Hentikan rasuah

Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.

Pembelian undi harus dihentikan!

Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.


8. Hentikan politik kotor

BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor



nukilan: en. ariff bashiruddin

No comments:

Post a Comment

-disclaimer-
Ini adalah blog peribadi. sebarang bentuk artikel, informasi mahupun gambar yang dimiliki oleh pemilik blog ini boleh digunapakai oleh blogger lain tanpa memerlukan kebenaran tetapi mestilah diletakkan pautan kepada blog ini. sebarang printscreen adalah dilarang sama sekali. pemilik blog mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang atas penyalahgunaan pelaku.

Farhana Mohamad Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign