farhana mohamad: MESYUARAT JAWATANKUASA KEBAJIKAN PELAJAR USIM

Pages

13 December 2010

MESYUARAT JAWATANKUASA KEBAJIKAN PELAJAR USIM



Mesyuarat Jawatankuasa Kebajikan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah diadakan pada 16 November 2010. Mesyuarat ini dilaksanakan atas kehendak Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (Pindaan 2009) yang memperuntukkan ahli-ahli yang ditetapkan termasuk dua orang ahli MPP, iaitu Yang Dipertua MPP dan seorang lagi yang dicadangkan oleh MPP.

Ahli-ahli Mesyuarat: Y.Bhg. Dato’ Naib Canselor USIM; Y. Bhg. Dato’ Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumi); Pendaftar USIM; Pengerusi Majlis Pengetua Kolej-kolej Kediaman; Timbalan Pendaftar HEP; Bendahari USIM; Pegawai-pegawai Kanan Jabatan dan
dua orang Ahli Majlis Perwakilan Pelajar.

Dalam mesyuarat tersebut MPP telah mengemukakan Kertas Kerja Usul Kebajikan Mahasiswa kepada sidang mesyuarat. Berikut merupakan hasil daripada pertemuan pertama Mesyuarat Jawatankuasa Kebajikan Pelajar.


Pembentangan Usul Kebajikan Mahasiswa oleh MPP sesi 2009/2010

USUL 1 – Penyelarasan Kebajikan Anak Negeri
MPP mencadangkan untuk menubuhkan mengikut undang-undang dan perlembagaan kelab/persatuan USIM bagi mana-mana persatuan anak negeri yang bergerak aktif di dalam kampus, bagi memastikan penyelarasan kebajikan bagi kesatuan anak negeri dan pengagihan peruntukan sumbangan oleh kerajaan negeri diberikan secara betul.

KEPUTUSAN: Mesyuarat mengambil maklum bahawa Bahagian HEP tidak pernah menghalang sebarang pertemuan kerajaan negeri dengan pelajar mengikut negeri masing-masing.
Mesyuarat pada dasarnya bersetuju dengan cadangan seperti berikut:
1. MPP memainkan peranan penting bagi menangani isu kenegerian di kalangan pelajar agar perspektif pelajar tidak terbatas pada daerah dan negeri sahaja.
2. Menangguhkan cadangan untuk menubuhkan persatuan mahasiswa berasaskan negeri sehingga ke satu masa yang difikirkan wajar.


USUL 2 – Agihan Peruntukan bagi Kelab/Persatuan dan Sekretariat Pelajar
MPP mencadangkan agar setiap kelab dan sekretariat pelajar diagihkan bajet dan peruntukan pada awal pelantikan bagi memudahkan mereka merangka takwim dan aktiviti tahunan masing-masing.

KEPUTUSAN: Pihak USIM buat masa ini sedang meneliti bajet 2011 bagi pengurusan aktiviti kemahasiswaan. Aktiviti fakulti tertakluk kepada fakulti yang memohon kepada Bahagian HEP.
Mesyuarat pada dasarnya bersetuju dengan cadangan seperti berikut:
1. Menyenaraikan anggaran bajet yang diperlukan oleh MPP, JAKSA, Kelab, Persatuan dan Sekretariat Pelajar bagi keperluan aktiviti/program yang mestilah mengandungi objektif dan hasrat dalam kepimpinan pelajar.
2. Pelajar digalakkan menganjurkan aktiviti yang berorientasikan asimilasi masyarakat dan pengantarabangsaan.
3. Program/aktiviti yang dicadangkan haruslah mempunyai impak dan kesan yang berpanjangan.


USUL 3 – Peruntukan Skim Kebajikan Pelajar
MPP mencadangkan agar peruntukan Tabung Ehsan dipindahkan kepada Bantuan Tabung Zakat bagi menampung permohonan zakat oleh para pelajar.

KEPUTUSAN: Isu berkenaan akan diambil perhatian lanjut. Mesyuarat dimaklumkan bahawa semua tabung amanah diagihkan mengikut yang ditetapkan sahaja. Mesyuarat bersetuju bahawa perjumpaan khusus perlu diadakan untuk menjelaskan isu berkaitan tabung kebajikan pelajar.


USUL 4 – Kerjasama Sistem Pengangkutan Luar
MPP mencadangkan agar kelonggaran diberikan kepda perkhidmatan bas awam dari luar (Bas mini, RapidKL dan lain-lain) untuk masuk ke kampus USIM bagi memudahkan pelajar dari kampus atau kolej untuk bergerak ke luar, seperti KTM, Bandar Nilai dan sebagainya.

KEPUTUSAN: Mesyuarat bersetuju dengan usul ini, dan akan memperhalusi cadangan tersebut bagi tujuan mengelakkan kesesakan dan isu keselamatan dalam kampus. (Cadangan seperti membenarkan bas luar berkumpul di stadium manakala di dalam universiti hanya bas shuttle sahaja dibenarkan.)


USUL 5 – Respon Aduan Pelajar
MPP memaklumkan bahawa terdapat aduan dan rungutan daripada pelajar yang telah mengemukakan aduan secara manual mahu pun secara on-line, tetapi tidak mendapat atau lambat diambil tindakan daripada pihak berkenaan.

KEPUTUSAN: Mesyuarat bersetuju bahawa aduan dan respon perlu ditampal dan dipamerkan di papan kenyataan di setiap kolej kediaman sama ada respon atau tindakan telah diambil atau sebaliknya.


USUL 6 – Staf Mesra Pelanggan
MPP memaklumkan aduan berkenaan terdapat segelintir pihak di kalangan staf yang tidak mesra pelanggan, bukan sahaja terhadap pelajar tetapi juga terhadap para pensyarah. MPP memohon agar aduan ini diambil perhatian oleh pihak berkaitan.

KEPUTUSAN: Mesyuarat bersetuju bahawa setiap staf khususnya kakitangan pentadbiran perlu memperbaiki sikap supaya lebih mesra pelanggan.


USUL 7 – Penambahbaikan Infrastruktur / Prasarana / Fasiliti
MPP mencadangkan agar pihak USIM membaikpulih kemudahan lampu di jalan pintu kedua USIM dan parkir motosikal yang tidak menyala demi menjamin keselamatan pelajar yang melaluinya. MPP turut mencadangkan agar pemasangan susur gajah berbumbung daripada FKP ke Perpustakaan.

KEPUTUSAN: Mengambil maklum cadangan berkenaan lampu dan kawasan gelap di beberapa tempat dalam kampus yang membahayakan pelajar yang melalui atau menggunakan kawasan tersebut. Mesyuarat bersetuju untuk mengekalkan ciri-ciri kehijauan dalam kampus. Saranan kepada pihak Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti agar menanam lebih banyak pokok yang berhadapan bagi menggantikan pembinaan susur gajah sebagai laluan pejalan kaki.


MAKLUMAN HAL-HAL BERBANGKIT / LAIN-LAIN

1. Isu kehilangan notebook di kalangan pelajar memerlukan peranan MPP dan lain-lain dalam memberi kesedaran terhadap tahap keselamatan dan penjagaan barangan peribadi sama ada di kolej kediaman atau di rumah sewa.

2. Pelajar luar kampus diingatkan agar sentiasa berwaspada kerana gerak geri sentiasa diperhatikan oleh orang luar dan berisiko berlaku kejadian ragut.

3. Pemberian penurunan kuasa Naib Canselor kepada beberapa kakitangan Bahagian Keselamatan bagi tujuan pencegahan dan kesedaran khususnya berkaitan etika pakaian pelajar.

4. Kawalan penggunaan dan penerbitan logo USIM oleh pelajar perlu diberi perhatian oleh Bahagian HEP bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan.

5. Keperluan profail dan testimonial pelajar perlu dikumpulkan oleh MPP dan direkod oleh Bahagian HEP bagi tujuan merekod profil pelajar USIM khususnya setelah bergraduat.

6. Isu-isu kebajikan pelajar boleh diforumkan atau dibincangkan melalui saluran-saluran lain seperti pertemuan, mesyuarat dan perjumpaan antara pihak HEP dan wakil pelajar daripada MPP atau kelab/persatuan lain. Sebarang pandangan dan pendapat daripada mahasiswa dialu-alukan oleh Pihak Pengurusan Universiti untuk diambil tindakan yang sesuai dalam kadar segera.

7. Perpindahan pelajar dari KK Nilam Court ke Kolej Kediaman 1 dapat membantu menyelesaikan isu pengangkutan dan akses internet yang memakan kos yang tinggi.

Disediakan oleh:
Setiausaha MPP Sesi 2009/2010


MAKLUMAN TERBARU:
Kertas Kerja Khas MPP - Cadangan Pindaan Peraturan dan Panduan Pilihan Raya Kampus (Pemilihan MPP) telah diusulkan kepada pihak Pengurusan Tertinggi Universiti. Kertas kerja cadangan tersebut kini diserahkan kepada TNC HEPA melalui Timbalan Pendaftar HEP. Turut dimaklumkan bahawa satu perbincangan khusus akan diadakan berhubung cadangan pindaan yang telah dikemukakan.

HARAP MAKLUM

P/S: tahniah MPP! gembira bersama USIM~

No comments:

Post a Comment

-disclaimer-
Ini adalah blog peribadi. sebarang bentuk artikel, informasi mahupun gambar yang dimiliki oleh pemilik blog ini boleh digunapakai oleh blogger lain tanpa memerlukan kebenaran tetapi mestilah diletakkan pautan kepada blog ini. sebarang printscreen adalah dilarang sama sekali. pemilik blog mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang atas penyalahgunaan pelaku.

Farhana Mohamad Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign